Dalam banyak-banyak hari, hari cuti adalah yang amat disukai oleh pelajar kerana mereka boleh berehat dari belajar buat sementara. Tanggapan ini silap sebenarnya kerana bagi seseorang pelajar, proses belajar masih lagi berlaku walaupun dalam cuti sekolah cuma ianya tidak berlaku di dalam bilik darjah. Mengulangkaji pelajaran, membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru adalah rutin yang perlu ada bagi seseorang pelajar sekolah.
Musim cuti sekolah yang bermula pada 4 Jun - 19 Jun 2010 hendaklah dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah selain dari membuat kerja rumah seperti berkelah, melawat keluarga di kampung, memancing dan sebagainya. Masa cuti bukannya menjadi medan membalas dendam dengan melepak bersama kawan hingga dinihari atau tidur lewat malam kerana bermain terup atau menonton tv dan sebagainya. Kerap kita dengar dan terbaca di akhbar ramai pelajar yang mati kerana berbagai-bagai sebab yang tidak sepatutnya terjadi di musim cuti ini. Alangkah sedihnya ibu bapa kerana pengharapan tinggi kepada mereka yang pergi dahulu itu. Tidakkah ini suatu yang boleh kita elak? Betul ianya takdir tapi kita hendaklah berusaha untuk mengelak sesuatu yang buruk dari berlaku jika kita mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengelak tragedi dari berlaku. Janganlah disebabkan kelekaan masa cuti ini membuatkan kita lupa pada perintah Allah seperti solat lima waktu, membuat amal kebajikan, menolong orang dan lain perkara yang mendekatkan diri kita kepadaNya.
Musim cuti atau musim nikah kahwin ini menuntut kita supaya bekerja dan belajar seperti biasa dan sentiasa berada dalam suasana pembelajaran kerana apabila kita leka dengan hiburan, maka apa yang dipelajari sebelum cuti akan terhakis dengan sendirinya. Dengan kata lain kita akan terlupa banyak perkara yang dipelajari di sekolah disebabkan hiburan yang keterlaluan.
Adalah diakui bahawa cuti bagi pelajar ruang bagi mereka merehatkan fikiran dan 'refresh' apa yang dipelajari selama ini di sekolah. Selamat bercuti dan manfaatkan cuti ini sebaiknya.