22 June 2011

Netbook dan Pelajar


Langkah kerajaan memberi Netbook 1Malaysia kepada pelajar sekolah (bermula di Terengganu) dilihat dan diharap memberi kesan positif dalam mempertingkatkan kadar celik komputer di kalangan pelajar. Tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar, mereka boleh merasai nikmat melayari alam siber dengan modal yang sedikit iaitu wang pendaftaran seratus ringgit lebih(nilai sebenar tidak diketahui). Mereka juga tidak lagi rasa terliur dan hanya mampu menjeling laptop kawan tapi boleh memiliki sendiri tanpa ragu lagi.


Pelajar tingkatan 3 dan 5 yang diberikan netbook ini akan lebih rasa bebas mencari bahan untuk persekolahan mereka tanpa perlu ke kafe siber kerana pakej yang diperolehi menawarkan modem jalur lebar dengan kadar yang rendah. Ini menyenangkan ibu bapa kerana tidak perlu fikir itu ini kerana semuanya tersedia untuk kemudahan anak-anak mereka. Bukankah ini sesuatu yang positif bila difikirkan?

Dengan adanya netbook ini semua sumber yang terdapat di persekitaran dan berkait dengan komputer dapat dimuatkan oleh pelajar ke dalamnya. Fail-fail seperti dokumen, lagu, video, imej dan sebagainya boleh sewenangnya diisi ke dalam pemacu kilat (atau disebut sebagai pendrive) dan seterusnya dipindah ke netbook. Bukankah mudah!

Seterusnya pelajar akan sentiasa berkepit dengan netbook ini. Tiada ragu tentang perkara ini. Petik saja dengan jari, facebook akan terpampang di depan mata! Boleh melihat berbagai jenis aksi sendiri dan rakan yang dirakam dengan kamera telefon dan kamera digital yang kualiti pikselnya teruk. Tidak mengapa, semua pelajar ada akaun fb ini. Inilah teknologi namanya.Teknologi yang banyak manfaatnya. Tetapi akan melahirkan pelajar yang suka berseronok dan berfantasi semata.

Banyak masa yang sepatutnya diguna untuk menelaah pelajaran akan digunakan untuk 'bermain komputer' dan 'bermain Internet'. Lihatlah nanti, keputusan peperiksaan yang selama ini sudah teruk akan semakin teruk selepas pemberian netbook ini. Kita akan dapati pelajar yang selama ini markahnya sekitar 60% akan menjadi 40%. Inilah harga yang perlu dibayar atas apa yang kita dapat kesan dari netbook free ini.

Ibubapa juga akan sukar untuk menyuruh anak mereka buat kerja kerana asyik dengan komputer ini. Kesan berantai ini akhirnya memusnahkan pelajar itu sendiri. Mereka akan hilang fokus bila asyik dan ralit dengan benda alah ini. Mungkin solat pun mereka akan terlupa.

Sepatutnya dibuat kajian terlebih dahulu sebelum memberi sesuatu kepada pelajar kerana jika silap percaturan, masa depan mereka akan tergadai. Mereka bukannya tahu buruk baik dalam erti kata sebenarnya. Mereka tahu berseronok sahaja. Kerana netbook atau laptop ini biasanya dibeli oleh ibubapa bila anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading!

23 March 2011

Keputusan SPM 2010; Menguja atau Mengejutkan?

Kalau ditanya pada saya mengenai keputusan SPM 2010 yang diumumkan 23 Mac 2011, saya ada beberapa pandangan. Secara kasarnya keputusan tahun 2010 menunjukkan penurunan yang ketara dari segi peratus keseluruhan iaitu berkurang 4% kepada 90%. Tapi dari segi kualiti amat memberangsangkan dengan meningkatnya peratus pelajar mendapat A dalam semua subjek.


Penurunan peratus keseluruhan bukan disebabkan pelajar tidak dapat menjawab atau gagalnya guru dalam mengajar atau menyampaikan ilmu secara berkualiti kepada pelajar, tapi disebabkan oleh sebilangan besar pelajar gagal hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu setiap hari dari guru-guru yang sememangnya mempunyai kemahiran dan kebolehan tinggi mengajar mereka. Guru-guru sentiasa bersedia mencurahkan ilmu dan mengorbankan tenaga dan masa melentur anak didik mereka menjadi pandai dan cekap dalam peperiksaan, namun sikap pelajar sendiri yang menjerumuskan mereka ke lembah kegagalan yang mengakibatkan masa depan mereka gelap dan suram. Lebih buruk, sekolah mendapat imej yang kurang baik lantaran ini. Tapi bukan kesan buruk itu yang berada di petak fikiran pelajar, tapi sesuatu yang sukar dimengertikan oleh kita para guru.

Walau apa pun ulasan yang kita beri kesan keputusan SPM 2010 ini, ianya sedikit sebanyak melebarkan bibir sesetengah puak-puak kita kerana adanya pelajar kita yang pencapaian mereka seumpama hembusan angin sejuk nyaman tatkala panas terik menikam kulit di tengahari. Segelintir merekalah yang menjadi angin sejuk itu. Senyum dan gelak tawa juga air mata kegembiraan mereka telah mendinginkan perasaan kecewa yang digalas oleh guru-guru yang subjek menunjukkan penurunan. Semua itu hilang dan terbang bila melihat pelajar kita seronok dan gembira di hari bersejarah kepada mereka ini.

Gambar-gambar sekitar hari keputusan SPM 2011 ini mungkin berupaya menceritakan tentang kegusaran guru-guru, gelagat para pelajar. Tahniah kepada yang cemerlang dan kepada yang sedih, jangan terus-terusan begitu, bersyukur dan menerima takdir lebih baik dari meratapinya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...