01 August 2010

Grafiti

Salah satu kebolehan pelajar yang rasanya tidak pernah disuruh atau diarah dan tiada kelas formal dalam mengaplikasikannya ialah aktiviti menconteng dinding sekolah dengan tulisan yang tidak enak dilayani. Perlakuan ini tergolong dalam adik-beradik 'kugha' atau conteng dalam istilah piawai Bahasa Melayu.

Biasanya perlakuan ini didorong oleh pelbagai faktor antaranya ialah keinginan untuk menjadikan sesuatu itu diingati dalam tempoh yang lama. Medium yang diguna biasanya pen dakwat, marker, kapur dan sebagainya.
Sejarah conteng-menconteng dinding ini bermula di Philadelphia, Pennsylvania, AS pada 1960-an oleh samseng jalanan untuk menyatakan kegiatan ganas mereka. Mereka biasanya menulis nama-nama yang berkonotasi dengan aktiviti jahat yang mereka lakukan untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa mereka adalah ancaman kepada masyarakat.

Contengan yang ada di dinding konkrit sekolah biasanya berunsur lucah dan gelaran serta sindiran kepada guru sekolah. Biasanya sindiran kepada guru ditulis dengan perkataan yang bersaiz besar dan penuh dengan unsur lepas geram kepada guru terbabit, Tujuan pelajar yang menulis dinding ialah biar semua pelajar lain tahu dan ketawa bila membaca tulisan tersebut. Biasa lokasi tulisan ialah di tangga, tandas, laluan utama dan pagar sekolah.

Kesannya, dinding menjadi cacat dan individu yang dituju akan merasa malu dengan tulisan dinding itu.

Adakah pelajar tidak tahu bahawa mengaibkan orang adalah berdosa besar dan selagi tidak diampunkan oleh 'mangsa', dosanya akan berkekalan sampai bila-bila.

Kita maklum bahawa isu ini adalah remeh saja. Tidak patut disiarkan di blog ini pun. Namun saya merasakan ianya tidak patut menjadi kebanggaan kepada pelajar lain kerana ianya tidak bermoral sama sekali. Ianya secara total menjadikan kita seumpama 'lempar batu sembunyi tangan'. Menjadikan kita sebagai orang pengecut kerana tidak berani berkata sesuatu yang kita tidak puas hati.

Kita mengharapkan supaya aktiviti ini berhenti setakat ini sahaja dan tidak menular. Pada para pelajar, buat sesuatu yang bermanfaat kepada sekolah. Jikalau anda berminat hendak menulis, hantar tulisan anda kepada majalah sekolah. Itu lebih bermakna. Atau berminat melukis, mohon melalui guru Pendidikan Seni Visual untuk melukis mural dan sebagainya. Mural ialah sejenis lukisan yang biasanya dilukis di dinding yang menggambarkan pelbagai subjek seperti alam, kemajuan negara dan sebagainya.

Kepada pelajar sekalian, lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Jika tidak mahu buat apa-apa, diam saja dan jalankan kehidupan seperti biasa, sebagai seorang pelajar.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...